TENTANG BOMBA


TENTANG BOMBA
Jabatan Bomba dan Penyelamat akan berusaha untuk melahirkan sebuah organisasi yang mantap dan mampu menghadapi apa jua bencana dan malapetaka selaras dengan Peruntukan Akta Perkhidmatan Bomba 1988 ( Akta 341 ) serta hasrat Jabatan untuk menjadi sebuah organisasi bertaraf dunia. Ke arah itu, jabatan akan memperlengkapkan anggota-anggotanya dari segi pengetahuan dan kemahiran pelbagai ( multiskill ), terlatih dan guna tenaga yang mencukupi serta lengkap dengan peralatan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab.
Untuk itu latihan dan kemudahan di Pusat-Pusat Latihan Bomba dan Penyelamat dan balai-balai akan dipertingkatkan dengan kemudahan dan kelengkapan latihan yang terbaik serta jurulatih yang mampan dan berpengalaman. Dengan peruntukan Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) dan Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (UBBL)khususnya berkaitan dengan Bahagian 7 dan 8, jabatan akan berusaha untuk melaksanakan tanggungjawab program pencegahan dan keselamatan kebakaran dan usaha untuk mempertingkatkan penguatkuasaan yang berkaitan dengan aktiviti pemeriksaan bangunan dan perlesenan perniagaan juga akan dipergiatkan.
Usaha-usaha untuk menggalakkan penubuhan Pasukan Bomba dan Penyelamat, Sukarela, Pasukan Pemadam Swasta dan Kerajaan di premis perniagaan, kilang dan bangunan kerajaan akan terus dipergiatkan dan digalakkan dalam memastikan premis-premis ini bebas daripada risiko dan bahaya kebakaran.
Jabatan sesungguhnya adalah komited untuk memberikan perkhidmatan yang profesional, cekap dan unggul melalui misi kualiti Jabatan iaitu "Ke Arah Sebuah Organisasi yang Bertaraf Dunia".
(DATO' JAAFAR SIDEK TAMBI)
Ketua Pengarah,
Jabatan Bomba dan Penyelamat,
Malaysia